Kelebihan Berpuasa di Bulan Ramadhan
Kelebihan Berpuasa
Sesungguhnya telah termaktub di dalam Al-Quran dan Sunnah tentang kelebihan berpuasa secara umumnya, antaranya:
Allah berfirman :Maksudnya: “Lelaki-lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang menjaga kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar” [Al-Ahzab: 35]
* Puasa mengawal syahawat:
Nabi SAW bersabda:Maksudnya: “Wahai pemuda-pemuda! Barang sesiapa antara kamu berkemampuan, maka berkahwinlah, kerana pernikahan itu menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan, dan barang sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu adalah perisai (memutuskan syahawat)” [HR Al-Bukhari: 5065, Muslim: 1400]
* Puasa menyelamatkan seseorang dari neraka:
Nabi SAW bersabda:Maksudnya: “Tidaklah seorang hamba berpuasa sehari di jalan Allah, kecuali Allah akan menjauhkan dia (kerana puasanya) dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” [HR Al-Bukhari: 2840, Muslim: 1153]Nabi SAW bersabda:Maksudnya: “Puasa adalah perisai, di mana seorang hamba itu berperisai dengannya dari api neraka” [HR Ahmad: 15299, Lihat Shahih Attarghib: 970]
* Puasa menjanjikan syurga:
Dari Abi Umamah, beliau berkata:Maksudnya : Wahai Rasulullah! Tunjukkan kepadaku, amalan yang boleh membawaku kepada syurga, Nabi SAW bersabda: “Ke atasmu puasa, tidak ada amalan yang sama dengannya” [HR Annasa'i: 2220, Lihat Shahih Sunan Annasa'i: 2097]
Kelebihan Bulan Ramadhan
* Bulan yang diturunkan padanya Al-Quran:
Allah berfirman :Maksudnya: “Bulan ramadhan, bulan yang diturunkan padanya (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara haq dan batil), barang siapa antara kamu yang hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu..” [Al-Baqarah: 185]
* Bulan yang padanya ada Lailatul Qadr:
Allah berfirman:Maksudnya: “Sesungguhnya, kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada lailatul qadr. Dan tahukah kamu apakah lailatul qadr itu? Lailatul Qadr itu adalah lebih baik dari seribu bulan” [Al-Qadr: 1-3]
* Bulan yang padanya dibelenggu syaitan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka:
Nabi SAW bersabda:Maksudnya: “Apabila tiba ramadhan; telah dibuka pintu-pintu syurga, telah ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan” [HR Al-Bukhari: 3277, Muslim: 1079]
Kelebihan Berpuasa di Bulan Ramadhan
Nabi SAW bersabda:Maksudnya: “Barang sesiapa yang yang berpuasa ramadhan kerana didorong oleh iman dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang lalu” [HR Al-Bukhari : 38, Muslim : 175]
* Puasa di bulan Ramadhan menjanjikan syurga:
Nabi SAW bersabda:Maksudnya: “Barang siapa yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, dan berpuasa di bulan ramadhan, maka telah layak baginya untuk dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga” [HR Al-Bukhari : 2637]
Comments
Post a Comment
Boleh komen disini. Hehe